Tuesday, September 6, 2011

UM tersenarai antara Universiti terbaik dunia!~



KUALA LUMPUR — Universiti Malaya (UM) buat julung kalinya disenaraikan antara 400 dan 500 Universiti Terbaik Dunia oleh Universiti Shanghai Jiao Tong tahun ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, penyenaraian itu berdasarkan kepada jumlah penerbitan jurnal dalam pangkalan data indeks jurnal Information Sciences Institute (ISI), mendapatkan perkhidmatan pensyarah antarabangsa dan kemasukan pelajar antarabangsa di universiti itu.
Beliau berkata, senarai yang dikeluarkan Universiti Shanghai Jiao Tong berbeza dengan senarai Quacquarelli Symonds (QS) World Universiti Ranking di mana UM menduduki tempat ke-167.
Arshad menjelaskan, kedudukan UM dalam senarai Universiti Shanghai Jiao Tong boleh ditingkatkan jika ia menggunakan khidmat profesional yang menerima anugerah Nobel, namun, pada masa ini UM belum menggunakannya lagi.
Antara universiti lain yang disenaraikan oleh Universiti Shanghai Jiao Tong ialah Universiti Kaherah di Mesir; Universiti Zagreb di Croatia dan Universiti Wollongong di Australia, manakala Universiti Harvard berada di tempat pertama. — Bernama

KPT kaji universiti baru




PUTRAJAYA — Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang menjalankan kajian terperinci mengenai jumlah keperluan institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTS/IPTS) yang baru di negara ini dalam usaha mencapai status negara maju menjelang 2020.
Menterinya, Datuk Seri Khalid Nordin berkata, kajian itu penting bagi menentukan kualiti dan kedudukan IPTA/IPTS di peringkat antarabangsa serta program yang ditawarkan relevan dengan kehendak semasa.
Beliau berkata, Malaysia yang kini menjadi ‘hab pendidikan’ penting di rantau ini telah menarik minat banyak universiti terkemuka luar negara untuk membuka cawangan kampus di negara ini.
"Kita sedang kaji negara kita perlukan berapa banyak universiti-universiti baru supaya kita dapat menjaga kualiti dan dapat memperkukuhkan kedudukan sektor pengajian tinggi.
"Memang kita dapat lihat kecenderungan banyak pihak yang ingin buka cawangan kampus di negara ini. Jadi KPT nak pastikan kualiti universiti tempatan dan program yang ditawarkan di semua universiti relevan dengan kehendak,” katanya pada sidang media selepas penyerahan sijil pelawaan naik taraf kolej HELP kepada Universiti HELP, di sini hari ini.
Katanya, kajian itu juga bagi memastikan usaha mentranformasikan pendidikan tinggi negara berjalan lancar untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan menjadi sektor pertumbuhan ekonomi yang penting.
Khaled berkata jumlah kemasukan ke IPT di negara ini hanya 40 peratus berbanding 60 peratus di Amerika Syarikat dengan nisbah satu universiti bagi penduduk di negara ini ialah 1:400,000, berbanding 1:200,000 di Amerika Syarikat.
Jelas beliau, sehingga 31 Julai lepas, terdapat 25 IPTS bertaraf universiti, 22 kolej cawangan universiti dan lima kampus cawangan universiti luar negara yang aktif di negara ini. — Bernama

diambil dari : Kosmo (6/9/2011)



Noramfaizul wira negara



SUBANG 4 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang terkorban ketika menjalankan tugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia akibat tembakan curi di Mogadishu, Jumaat lalu sebagai wira negara.

Sambil melahirkan rasa kagum terhadap keperibadian Allahyarham, Najib menegaskan, pemergian jurukamera BernamaTV itu harus dijadikan model, perangsang serta semangat untuk meneruskan peranan Malaysia dalam membantu negara-negara di seluruh dunia.

“Saya amat kagum dan diberitahu Allahyarham seorang yang kuat semangat, sukakan cabaran dan sering mengikuti misi kemanusiaan di luar negara walaupun menghadapi pelbagai risiko, selain cekal dan tabah mengharungi rintangan bagi memberikan laporan terbaik kepada Malaysia.

“Beliau menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang ke hadapan membantu negara lain yang memerlukan akibat malapetaka, kecelakaan termasuk kebuluran yang berlaku di Somalia.

“Saya sifatkan beliau wira negara dan kita patut melihat pengorbanan Allahyarham sebagai model, kisah yang merangsang serta semangat untuk terus memainkan peranan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas bersama-sama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini hari ini.

Turut sama menyambut jenazah Allahyarham ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Mengulas lanjut mengenai insiden yang menimpa Allahyarham, Najib turut menyatakan kejadian sedemikian tidak seharusnya mematahkan semangat seluruh rakyat negara ini untuk terus membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Dalam pada itu, Najib yang mewakili kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul dan turut memberi jaminan akan membantu keluarga termasuk kos persekolahan dua anak Allahyarham, Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3.

“Kita akan beri bantuan sebaik-baiknya, saya akan bincang. Insya-Allah, kos pelajaran anak-anak Allahyarham akan kita bantu, jumlah akan ditentukan nanti,” jelasnya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Link Kamu...Nanti saya pergi melawat Blog kamu pulak okey!

 

Copyright © 2011 Reserved to silent thinker
Design with love by CikBulat