Tuesday, September 6, 2011

Noramfaizul wira negara



SUBANG 4 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang terkorban ketika menjalankan tugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia akibat tembakan curi di Mogadishu, Jumaat lalu sebagai wira negara.

Sambil melahirkan rasa kagum terhadap keperibadian Allahyarham, Najib menegaskan, pemergian jurukamera BernamaTV itu harus dijadikan model, perangsang serta semangat untuk meneruskan peranan Malaysia dalam membantu negara-negara di seluruh dunia.

“Saya amat kagum dan diberitahu Allahyarham seorang yang kuat semangat, sukakan cabaran dan sering mengikuti misi kemanusiaan di luar negara walaupun menghadapi pelbagai risiko, selain cekal dan tabah mengharungi rintangan bagi memberikan laporan terbaik kepada Malaysia.

“Beliau menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang ke hadapan membantu negara lain yang memerlukan akibat malapetaka, kecelakaan termasuk kebuluran yang berlaku di Somalia.

“Saya sifatkan beliau wira negara dan kita patut melihat pengorbanan Allahyarham sebagai model, kisah yang merangsang serta semangat untuk terus memainkan peranan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas bersama-sama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini hari ini.

Turut sama menyambut jenazah Allahyarham ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Mengulas lanjut mengenai insiden yang menimpa Allahyarham, Najib turut menyatakan kejadian sedemikian tidak seharusnya mematahkan semangat seluruh rakyat negara ini untuk terus membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Dalam pada itu, Najib yang mewakili kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul dan turut memberi jaminan akan membantu keluarga termasuk kos persekolahan dua anak Allahyarham, Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3.

“Kita akan beri bantuan sebaik-baiknya, saya akan bincang. Insya-Allah, kos pelajaran anak-anak Allahyarham akan kita bantu, jumlah akan ditentukan nanti,” jelasnya.


0 kesan tapak kaki:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Link Kamu...Nanti saya pergi melawat Blog kamu pulak okey!

 

Copyright © 2011 Reserved to silent thinker
Design with love by CikBulat