Friday, October 28, 2011

Martabatkan bahasa Melayu di IPT



PUTRAJAYA 27 Okt. – Penerbitan buku atau bahan akademik dalam bahasa Melayu akan dijadikan sebagai salah satu kriteria untuk perjawatan dan kenaikan pangkat ahli akademik di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil bagi memperkukuhkan lagi bahasa Melayu dalam konteks pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan.

Menurutnya, pendekatan itu juga secara tidak langsung akan mengambil kira soal pengiktirafan, pembangunan dan kemajuan kerjaya ahli-ahli akademik.

“Sehubungan itu kerajaan akan mewujudkan anugerah kepada ahli akademik di peringkat universiti yang cemerlang dalam bahan penerbitan bahasa Melayu.

“Penambahan kategori anugerah baru juga akan dilakukan iaitu Anugerah Penterjemah Karya Ilmu dalam bahasa Melayu dan Anugerah Akademia Bahasa Melayu dalam Anugerah Akademik Negara (AAK) pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Alatif Mohd. Noor;Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Pelan tindakan itu mempunyai empat strategi iaitu mengukuhkan bahasa Melayu dalam pembelajaran dan pengajaran; mengukuhkan bahasa Melayu dalam penyelidikan dan penerbitan; meningkatkan pengiktirafan akademia Bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu dan meningkatkan pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Mohamed Khaled berkata, melalui pelan tersebut, usaha akan terus dipertingkat untuk menambah bilangan artikel berindeks dan bilangan penerbitan buku dalam bahasa Melayu.

“Satu lagi pendekatan yang boleh diambil oleh IPT ialah dengan memperkukuhkan jurnal tempatan berbahasa Melayu berkualiti sehingga diindekskan dalam Scopus dan ISI,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, semua kursus wajib di universiti seperti Kenegaraan Malaysia, Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara wajib dikendalikan dalam bahasa Melayu.

“Dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan ini, pihak kementerian meletakkan sasaran 30 peratus pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu bagi gugusan sains.

“Dalam tempoh yang sama juga, sasaran 70 peratus pengajaran dan pembelajaran adalah bagi gugusan sains sosial dan kemanusiaan,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya juga akan mewajibkan pelajar-pelajar antarabangsa di institut pengajian tinngi awam (IPTA) mengambil kursus Bahasa Melayu Komunikasi.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Link Kamu...Nanti saya pergi melawat Blog kamu pulak okey!

 

Copyright © 2011 Reserved to silent thinker
Design with love by CikBulat