ALOR GAJAH 30 Mac – Kolej Risda akan dinaik taraf menjadi kolej universiti bagi menerajui transformasi pertanian melalui pendidikan menjelang 2013.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, usaha menaik taraf kolej tersebut amat penting untuk melahirkan lebih ramai graduan bidang pertanian.
Menurutnya, ketika ini kolej yang ditubuhkan pada 1996 itu adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menyediakan program pendidikan dalam bidang latihan dan pertanian yang dikhususkan kepada anak-anak di luar bandar.
‘‘Sudah tiba masanya kolej ini dinaik taraf sebagai kolej universiti kerana ia mampu melahirkan lebih ramai golongan usahawan berpendidikan tinggi yang dapat memajukan sektor pertanian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan warga kerja termasuk pensyarah dan kira-kira 1,000 pelajar di Kolej RISDA Paya Pa‘abas di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Mohamad; Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Ketua Pengarah Risda, Datuk Mohamad Izat Hasan.
Menurut Mohd. Shafie, pihak pengurusan Risda akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mendapatkan kelulusan naik taraf tersebut.
‘‘Saya yakin Kementerian Pengajian Tinggi akan menerima cadangan RISDA ini,” ujarnya.
Beliau menambah, peruntukan yang akan diberikan kepada Risda untuk kolej tersebut dinaik taraf sebagai kolej universiti akan dibincangkan dengan fokus terhadap infrastruktur baru, tenaga pengajar dan kemudahan lain.
Ujarnya, sejak Kolej RISDA beroperasi pada 2000, seramai 3,813 graduan berjaya dilahirkan dalam bidang pertanian, pengurusan perniagaan, sains komputer dan juga latihan dalam pelbagai bidang kemahiran.
Katanya, setakat ini sebanyak 75 peratus daripada graduan dalam Diploma Pertanian mendapat pekerjaan manakala selebihnya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah.
sumber :diambil daripada Utusan Online 31/3/2011
0 kesan tapak kaki:
Post a Comment