Friday, April 1, 2011

Kes Bunuh Sosilawati: Peguam, 3 lelaki dibicara 4 Julai



HAH ALAM 31 Mac - Bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya akan dibicarakan selama tiga bulan bermula 4 Julai ini di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain pada Ogos tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menetapkan demikian hari ini selepas keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membunuh mangsa-mangsa terbabit.

Kesemua mereka kelihatan tenang ketika jurubahasa membacakan pertuduhan tersebut dalam bahasa Tamil.

Akhtar turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kesemua tertuduh dibicarakan bersama selepas tiada bantahan daripada pihak pembelaan.

Pathmanabhan, 41; bersama T. Thilaiyalagan, 19; R. Matan, 20; dan R. Kathavarayan, 30; didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandu wanita tersebut, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani.

Kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam Manjeet Singh Dhillon, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh.

Kes berprofil tinggi itu mendapat perhatian umum apabila ahli perniagaan wanita terkenal tersebut dilaporkan hilang selepas dikatakan ke Banting atas urusan pembelian tanah pada 30 Ogos tahun lalu, iaitu ketika umat Islam berpuasa di bulan Ramadan.

Lebih mengejutkan, media massa kemudian melaporkan bahawa pihak polis mengesahkan bahawa keempat-empat mangsa telah dipukul sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

sumber: di ambil daripada Utusan Online 1 april

0 kesan tapak kaki:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Link Kamu...Nanti saya pergi melawat Blog kamu pulak okey!

 

Copyright © 2011 Reserved to silent thinker
Design with love by CikBulat