Friday, April 1, 2011

Dana Permulaan Perniagaan


Dana Permulaan Perniagaan



Oleh HELMI MOHD. FOAD






Najib Tun Razak melihat produk spa berasaskan herba hasil penyelidikan bersama MTDC dan Ligni - Energy Sdn. Bhd. yang dipamerkan sempena majlis Perjanjian Usahasama Pusat Technopreneur UiTM dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia serta melancarkan Dana Asas Perniagaan di UiTM Shah Alam, semalam.



SHAH ALAM 31 Mac - Kerajaan terus menggerakkan inisiatif merancakkan ekonomi negara apabila mengumumkan suntikan Dana Permulaan Perniagaan (BSF) sejumlah RM100 juta kepada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) hari ini.

Dana tersebut menawarkan pembiayaan yang menarik apabila ia bersifat fleksibel tanpa cagaran dengan tempoh pembayaran balik selama lapan tahun dengan tiga tahun pertama adalah bebas daripada sebarang pembayaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyempurnakan pelancaran dana itu berkata, pembiayaan tersebut adalah bagi membantu para usahawan untuk menghasilkan produk berinovatif berasaskan teknologi dan berpotensi di pasaran termasuk di peringkat global.

"Inisiatif baru ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam menjamin peningkatan ekonomi negara pada masa akan datang di samping menggalakkan penyelidikan di kalangan rakyat.

"Kita mahu melahirkan usahawan tekno yang mempunyai peluang meneroka bidang baru dan ini selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE) di mana kejayaan kita berasaskan kepada kemampuan mencipta kekayaan berasaskan teknologi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan BSF dan majlis perjanjian usahasama antara Pusat Usahawan Tekno, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan MTDC di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar; Pengerusi MTDC, Datuk Siti Hadzar Mohd. Ismail dan Ketua Eksekutif MTDC, Norhalim Yunus.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kumpulan sasar BSF adalah syarikat peringkat permulaan berasaskan teknologi termasuk syarikat-syarikat terbitan universiti (STU) dan mempunyai produk berpotensi ke pasaran terbuka.

"Syarikat-syarikat tersebut mesti memiliki 70 peratus usahawan atau sekumpulan usahawan sepenuh masa di kalangan masyarakat tempatan," katanya.

Kata beliau, dana tersebut perlu bagi memastikan idea-idea baru yang dimiliki oleh usahawan tekno muda tidak dipersiakan memandangkan bank-bank komersial hanya berminat mengeluarkan pinjaman kepada firma yang mempunyai rekod dan jaminan aset.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, bermula daripada Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7), MTDC telah diberi kepercayaan untuk menguruskan dana pengkomersialan dan pemindahan teknologi.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 443 buah syarikat berasaskan teknologi telah mendapat faedah daripada geran berjumlah RM558 juta yang diluluskan dan kerajaan telah menyediakan ekosistem terbaik termasuk melalui kerjasama MTDC dengan institusi pengajian tinggi tempatan termasuk UiTM.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian di antara MTDC dan UiTM bagi membina sebuah pusat usahawan tekno di kampus induk universiti itu di sini.

Projek yang menelan belanja RM12 juta itu diperuntukkan oleh MTDC sekali gus menjadi pusat teknologi MTDC kelima yang bakal beroperasi.

sumber : di ambil dari utusan online pada 1 april 2011

0 kesan tapak kaki:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Link Kamu...Nanti saya pergi melawat Blog kamu pulak okey!

 

Copyright © 2011 Reserved to silent thinker
Design with love by CikBulat