Monday, October 18, 2010

l-l pemandu bas tak insaf2 jugak l-l


tak serik-serik jugak pemandu bas ekspress ni!
dah ramai terkorban pun x jugak sedar.
nak tunggu diri sendiri jadi arwah ke?? mase tu baru nak insaf ke?? dah tak guna mase tue..

ni petikan dari surat khabar UTUSAN!..


Pemandu bas ekspres tak serik-serik


BUKTI sebuah bas ekspres yang dipandu laju hampir mencecah 100 km/j bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka. – UTUSAN/HAFIZH KHOSMAT


KUALA LUMPUR 17 Okt. - Nahas bas ekspres meragut 13 nyawa di Lebuh Raya Utara Selatan di Rembau, berdekatan susur keluar Simpang Ampat pada Ahad lalu langsung tidak memberi pengajaran kepada sebahagian pemandu bas ekspres lain.

Pemandu bas-bas ekspres seolah-olah tidak mengambil peduli tentang kemalangan ngeri tersebut walaupun pihak polis mengaitkan nahas itu dengan faktor kenderaan dipandu laju.

Buktinya, siasatan dua hari wartawan Unit Khas Utusan Malaysia empat hari selepas nahas itu mendapati kebanyakan bas ekspres khususnya di Lebuh Raya Utara Selatan masih dipandu melebihi had laju 90 kilometer sejam (km/j).

Malah, memandu dengan kelajuan 110 kmj sehingga 120 km/j seolah-olah menjadi perkara biasa kepada pemandu-pemandu terlibat.

Siasatan seumpama pernah dilakukan wartawan yang sama pada Januari lalu. Hasilnya ketika itu mendapati sebahagian besar mereka merupakan 'pemandu pelesit' yang menjadi raja pecut di lebuh raya dengan kelajuan purata 120 km/j dan ramai juga mencecah 170 km/j.

Selepas sembilan bulan siasatan itu didedahkan di muka depan Utusan Malaysia pada 25 Januari lalu, kini sikap 'pemandu pelesit' terlibat nampaknya tidak berubah.

Sebaliknya, menerusi siasatan pada Khamis dan Jumaat lalu itu, sebahagian pemandu bas ekspres di Lebuh Raya Utara Selatan terus menjadi 'pelesit' memperjudikan nyawa penumpang yang dibawa.

Pada Januari lalu, siasatan lebih tertumpu kepada modus operandi mengekori lebih 20 bas ekspres untuk mencatat kelajuan mereka.

Sebaliknya kali ini, selain mengekori bas-bas ekspres tersebut, wartawan terlibat turut menaiki dua buah bas ekspres bagi perjalanan Kuala Lumpur-Melaka dan Melaka-Kuala Lumpur.

Ini bagi mendapatkan gambaran lebih jelas cara pemanduan dan kelajuan bas ekspres di Lebuh Raya Utara Selatan.

Selain menyiasat kelajuan bas ekspres yang dinaikinya, wartawan berkenaan turut mencatatkan tabiat pemandu bas ekspres lain yang masih menjadi 'pelesit' di lebuh raya.

Berdasarkan meter kelajuan, bas pertama dinaiki dari Kuala Lumpur ke Melaka pada Rabu lalu didapati tidak melebihi had laju 90 km/j.

Dari bandar raya ini bermula pukul 9.35 malam, kemudian memasuki Plaza Tol Sungai Besi sampailah ke Melaka Sentral, kelajuan bas berwarna merah hati itu adalah di bawah had laju yang dibenarkan.

Bagaimanapun, sepanjang perjalanan sejauh kira-kira 130 kilometer itu menyaksikan bas-bas ekspres lain yang menuju ke arah selatan dipandu laju kebanyakannya dalam kelajuan 110 hingga 130 km/j.

Anggaran kelajuan mencecah 130 km/j itu dibuat berdasarkan kelibat 'bas-bas pelesit' tersebut yang menghilang sekelip mata selepas memotong bas yang dinaiki wartawan dengan kelajuan 90 km/j.

Sikap sebenar 'pemandu-pemandu pelesit' dapat dibuktikan ketika menaiki bas ekspres Melaka-Kuala Lumpur milik syarikat lain pada kira-kira pukul 11.45 pagi, keesokannya.

Sepanjang perjalanan dari Melaka Sentral ke Hentian Bas Bukit Jalil di ibu negara, bas berwarna oren itu dipandu mencecah 110 km/j, iaitu kelajuan yang membuatkan wartawan dan penumpang lain sudah mula 'kecut perut'.

Ini kerana, dengan kelajuan 110 km/j pemandu kenderaan besar seperti bas ekspres akan berdepan masalah mengawal kenderaan ketika kecemasan dan ia mengundang kemalangan yang boleh meragut banyak nyawa.

Lebih menakutkan, ketika bas dinaiki itu sendiri dipandu 110 km/j, masih terdapat bas-bas ekspres lain yang dengan mudah memotongnya dan hilang 'sekelip mata' daripada pandangan.

Kesalahan lain adalah aksi pemanduan berbahaya bas-bas ekspres yang berlumba-lumba memotong kenderaan berat menggunakan lorong kanan.

Selain itu, taktik membolosi sekatan jalan, perangkap had laju dan mengesan kereta peronda polis menggunakan perkhidmatan 'Push to Talk' (PTT) masih diamalkan.

Mereka sanggup membiarkan stereng tanpa kawalan sepenuhnya untuk asyik memberi tumpuan kepada perbualan walkie-talkie sesama 'pemandu pelesit' bagi melaporkan lokasi terdapatnya pasukan polis mengadakan sekatan atau perangkap had laju.

"Tol Sungai Besi sampai Menara Tinjau (Kilometer 271 di Seremban) line clear. Tak ada speed trap.

"Nak pergi Larkin pun, kawan tadi cakap line clear," kata pemandu bas pertama yang dinaiki pada Rabu malam.

Dengan bantuan PTT menyebabkan 'pemandu-pemandu pelesit' ini bebas memecut dan bermaharajalela di lebuh raya kerana mengetahui tiada pasukan polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengadakan sekatan, rondaan atau perangkap had laju.

Berikut adalah catatan pemantauan wartawan Unit Khas Utusan Malaysia sepanjang siasatan tersebut:

HARI PERTAMA: Kuala Lumpur-Melaka, 9.35 malam, 14 Oktober

MENAIKI bas ekspres WPEXXXX bersama lima penumpang lain dari Hentian Bas Bukit Jalil menuju ke Melaka.

"Penumpang kurang sikit dik, biasa 15 ke 20 orang naik pada waktu macam ini.

"Saya ingat, orang takut sikit sebab ramai pemandu bas ekspres yang pandu laju jadi pelesit di lebuh raya.

"Lebih-lebih lagi selepas kemalangan ngeri bas ekspres di Rembau baru-baru ini," kata pemandu bas tersebut kepada wartawan yang duduk betul-betul di kerusi di belakangnya.

Sebaik memulakan perjalanan pukul 9.35 malam, pemandu mula berkomunikasi menggunakan PTT untuk mengetahui sama ada terdapat polis peronda atau perangkap had laju oleh polis.

Melintasi Plaza Tol Sungai Besi, bas dipandu dengan kelajuan purata 80 km/j disebabkan lebuh raya ketika itu agak sesak dengan kenderaan lain di ketiga-tiga lorong.

Di Kilometer 295, ketika bas dinaiki memotong sebuah lori simen di lorong tengah dengan kelajuan 90 km/j, tiba-tiba sebuah bas ekspres lain bernombor plat WNRXXXX memotong lebih pantas di lorong kanan.

Keadaan sama turut berlaku berhampiran susur keluar tol Simpang Ampat apabila sebuah bas ekspres tidak dapat dipastikan plat pendaftarannya memotong di lorong paling kanan dengan kelajuan kira-kira 100 km/j.

Sepanjang perjalanan, bas tidak dipandu melebih had laju tetapi pemandunya asyik bertukar-tukar maklumat menerusi PTT dengan pemandu lain sehingga memasuki tol Simpang Ampat menuju Melaka Sentral.

Pemandu mengambil masa dua jam 20 minit untuk tiba di destinasi pukul 11.55 malam.

HARI KEDUA: Melaka-Kuala Lumpur, 11.45 pagi, 15 Oktober

BERSAMA 14 penumpang lain, wartawan memulakan perjalanan menaiki bas ekspres berwarna oren plat JHHXXXX milik syarikat lain pada pukul 11.45 pagi dari Melaka Sentral.

Tidak seperti hari pertama, pemandu ini tidak menggunakan PTT untuk memantau perjalanan di siang hari.

Sebaik sahaja memasuki lebuh raya melalui Plaza Tol Ayer Keroh, bas ini terus memecut dengan kelajuan 110 km/j di lorong kiri. Keadaan lebuh raya ketika itu dipenuhi lori-lori di lorong kiri dan tengah.

Sepanjang perjalanan, pemandu itu tiga kali bercakap menggunakan telefon bimbit.

Di luar bas itu juga kelihatan bas-bas ekspres lain mengekori bas yang dinaiki, dengan kelajuan hampir sama iaitu antara 100 - 110 km/j.

Di lorong arah bertentangan pula, banyak bas ekspres menuju ke selatan menderu-deru bunyi enjinnya yang sekali gus menggambarkan kelajuan kenderaan tersebut yang melebihi had laju.

Berbanding lebih dua jam perjalanan pertama, bas ini hanya mengambil masa kira-kira satu jam 45 minit untuk tiba di Bukit Jalil iaitu pada pukul 1.30 petang dengan kelajuan 100 hingga 110 km/j.




0 kesan tapak kaki:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Link Kamu...Nanti saya pergi melawat Blog kamu pulak okey!

 

Copyright © 2011 Reserved to silent thinker
Design with love by CikBulat