Wednesday, November 9, 2011

Kementerian Pengajian Tinggi Tak Wujud Peperiksaan Untuk Pilih Pelajar IPTA

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Kementerian Pengajian Tinggi tidak akan mewujudkan peperiksaan umum bagi proses pemilihan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), persidangan Dewan Rakyat diberitahu Rabu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung berkata kerajaan akan meneruskan dasar pengambilan pelajar mengikuti kriteria akademik seperti yang diamalkan sekarang.

Katanya, jumlah kemasukan pelajar lepasan Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM), matrikulasi dan asasi ke IPTA meningkat setiap tahun berbanding jumlah tempat yang ditawarkan.

“Bagi sesi akademik 2011/2012, seramai 53,216 pelajar lepasan STPM, matrikulasi dan asasi yang layak menyambung pengajian ke IPTA, berbanding hanya 41,267 tempat yang ditawarkan,” katanya menjawab soalan M. Manogaran (DAP-Teluk Intan).

Manogaran ingin tahu sama ada peperiksaan umum akan diadakan bagi membolehkan pelajar dari semua kaum mendapat peluang sama rata untuk melanjutkan pelajaran di IPTA, berbanding dasar pengambilan sekarang yang bergantung kepada keputusan peperiksaan STPM atau matrikulasi.

Selain itu, Hou juga berkata kementerian akan mengambil tindakan ke atas mana-mana institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang didapati menyalahi peraturan dan gagal melahirkan graduan berkualiti serta mempunyai sahsiah yang tinggi.

“Jika ada kesalahan, kita boleh kenakan kompaun. Sejak tiga tahun lepas kita memang ada terima aduan tetapi semakin berkurangan,” katanya menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran).







sumber : bernama.

0 kesan tapak kaki:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Link Kamu...Nanti saya pergi melawat Blog kamu pulak okey!

 

Copyright © 2011 Reserved to silent thinker
Design with love by CikBulat