Thursday, September 8, 2011

Malaysia negara ke 21 paling berdaya saing




MALAYSIA kini tersenarai pada kedudukan ke-21 negara paling berdaya saing di dunia, naik lima anak tangga berbanding tahun lalu sekali gus mendahului beberapa negara maju lain antaranya Israel, Korea Selatan, New Zealand, Luxembourg dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bagi rantau Asia Pasifik, Malaysia berada pada kedudukan keenam paling kompetitif selepas Singapura, Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Australia manakala bagi rantau Asia, Malaysia tersenarai pada kedudukan kelima paling berdaya saing selepas Singapura, Jepun, Hong Kong dan Taiwan serta menduduki tangga kedua selepas Singapura bagi negara Asean.

Pencapaian membanggakan itu terkandung dalam Laporan Daya Saing Global (GCR) yang dikeluarkan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) bagi tempoh 2011-2012 membabitkan kedudukan daya saing 142 negara dalam ekonomi global.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan Malaysia pada tahun ini sama seperti 2008 dan lebih baik berbanding 2009 pada senarai ke-24 serta 2010 (26) didorong pencapaian lebih baik merentasi sembilan daripada 12 kategori yang ditinjau WEF.

“Antara bidang yang menunjukkan peningkatan ketara ialah institusi yang berada pada kedudukan ke-30 daripada ke-42 tahun lalu, suasana ekonomi makro (kedudukan ke-29 daripada 41), keberkesanan pasaran barangan (kedudukan ke-15 daripada 27) dan keberkesanan pasaran buruh (kedudukan ke-20 daripada 35),” katanya.


Beliau berkata, GCR menyifatkan sektor ekonomi Malaysia sebagai kukuh dan berkesan serta antara paling berkembang di dunia, malah negara ini tersenarai pada kedudukan ketiga dalam kategori pembangunan pasaran kewangan, peningkatan ketara berbanding tempat ketujuh tahun lalu.



Katanya, kerajaan sangat berpuas hati dengan data dikeluarkan itu sekali gus membuktikan negara ini mempunyai polisi ekonomi tepat dan mampu mencapai pertumbuhan serta pembangunan seperti disasarkan.

WEF mencadangkan Malaysia supaya memperbaiki prestasi dalam pendidikan dan kesediaan teknologi untuk lebih berdaya saing. Switzerland tersenarai pada kedudukan teratas bagi negara paling berdaya saing, diikuti Singapura, Sweden, Finland dan Amerika Syarikat.



sumber : Metro 8 /9/11


0 kesan tapak kaki:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Link Kamu...Nanti saya pergi melawat Blog kamu pulak okey!

 

Copyright © 2011 Reserved to silent thinker
Design with love by CikBulat