Sunday, August 28, 2011

Dulu Puduraya kini Pudu Sentral







KUALA LUMPUR - Hentian Puduraya di sini yang mula beroperasi pada 1976 dan baru sahaja dinaik taraf, kini dikenali sebagai Pudu Sentral.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan nama baru terminal bas itu semalam berkata, penukaran nama itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baru, setaraf dengan sebuah lapangan terbang.
Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan seorang pengikut twitternya selepas beliau tweet setelah bersahur awal semalam bahawa beliau akan melawat Hentian Puduraya.
"Ramai yang memberi maklum balas dan saya terima cadangan supaya nama hentian bas ini ditukar supaya mencerminkan terminal yang tinggi kualitinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan wajah baru bas terminal itu di sini semalam.
Menurutnya, selepas berbincang dengan pihak pengurusan hentian itu, beliau telah bersetuju untuk menukar namanya kepada Pudu Sentral.
Hentian Puduraya ditutup sementara pada Mac tahun lepas, setahun selepas kerajaan mendapati terminal itu perlu sangat dinaik taraf dan diubahsuai untuk memperbaiki perkhidmatan dan mengambil kira keselamatan awam setelah ia beroperasi lebih tiga dekad.
Kemudahan itu kini dilengkapi dengan pendingin hawa, kemudahan eskalator dan sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas dan disediakan dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV).
CCTV dipasang di semua tempat strategik yang dipantau oleh 48 kakitangan keselamatan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat dan penumpang.
Najib turut meluangkan masa melawat sekitar terminal baru tersebut dan berinteraksi dengan para pengguna serta memberikan sumbangan kuih raya kepada penumpang bas ekspres yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri.
Ini merupakan lawatan ketiganya ke terminal bas tersebut sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009, di mana tiga minggu selepas itu Najib turun padang melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandar raya, termasuk Hentian Puduraya.
Berikutan dengan lawatan itu beliau mengarahkan supaya Hentian Puduraya dinaik taraf dengan segera, memandangkan keadaan bangunannya yang daif serta tidak memberi keselesaan sama sekali kepada para pengguna.
Kerja-kerja menaik taraf itu dijalankan oleh UDA Holdings Berhad dalam dua fasa dengan kos RM52 juta.
Sementara itu tinjauan Bernama di terminal bas tersebut turut mendapati pengguna sangat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan.
Seorang warga emas, K.P Lim, 66, berkata, persekitaran di Pudu Sentral sekarang sangat berbeza berbanding dahulu memandangkan ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa dan tidak bising.
"Dahulu (Puduraya) sangat panas, sangat bising. Orang tua seperti saya sangat tidak selesa keadaan seperti itu. Saya sangat berpuas hati dengan penambahbaikan kemudahan di sini. Memang sangat berbeza kalau dibandingkan dengan yang dulu," katanya.
Bagi Maimunah Ahmad Pardi, 55, persekitaran Pudu Sentral yang bersih dan nyaman membolehkan orang ramai menunggu bas dalam keadaan yang selesa walaupun penumpang terpaksa menunggu lama.

credit : Kosmo 28/8/2011


0 kesan tapak kaki:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Link Kamu...Nanti saya pergi melawat Blog kamu pulak okey!

 

Copyright © 2011 Reserved to silent thinker
Design with love by CikBulat