Tuesday, May 3, 2011

Pelajar IPTA, penjawat awam ditahan kerana mencuri


KANGAR — Tiga pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk dua pelajar perempuan serta seorang penjawat awam ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian di kolej kediaman IPTA yang terletak di Arau itu.
Kedua-dua pelajar perempuan berumur 21 tahun itu ditahan 12.10 tengah hari pada Ahad lalu ketika mereka selesai menduduki peperiksaan akhir semester di IPTA itu manakala pelajar lelaki berusia 21 tahun dan seorang penjawat awam berusia 27 tahun ditahan 2.30 petang semalam di kediaman masing-masing di Alor Setar, Kedah.
Ketua Polis Daerah Arau, Supt. Mohd. Nadzri Hussain berkata, mereka disyaki melakukan perbuatan itu sejak Oktober tahun lalu dan ketiga-tiga pelajar berkenaan adalah penuntut tahun kedua dan kesemua mereka berasal dari Alor Setar, Kedah.
Mohd. Nadzri berkata, polis menjalankan risikan sebaik menerima laporan daripada seorang pelajar IPTA itu pada 16 Oktober tahun lalu yang mendakwa barangnya hilang.
Hasil soal siasat, pihak polis menemui semula barang curi iaitu sebuah kamera digital manakala komputer riba yang turut dilaporkan hilang dipercayai telah dilupuskan kepada pihak kedua.
"Polis masih giat mengesan pihak kedua yang terbabit dalam kes itu bagi membantu siasatan dan pihak polis percaya dengan penangkapan kesemua suspek itu berjaya menyelesaikan tiga kes yang dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.
Kesemua suspek ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. — Bernama


0 kesan tapak kaki:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tinggalkan Link Kamu...Nanti saya pergi melawat Blog kamu pulak okey!

 

Copyright © 2011 Reserved to silent thinker
Design with love by CikBulat