KANGAR – Tradisi mengusung rumah yang diamalkan masyarakat Melayu satu ketika dulu diberi nafas baru oleh seorang wanita warga emas di sini, yang mengajak masyarakat pelbagai kaum membantunya memindahkan rumah pusaka.
Disertai hampir 200 orang termasuk dari kaum Cina dan India, rumah pusaka milik Paridah Bi Mat Kassim itu diusung ”ala 1Malaysia” sejauh tiga meter dari tapak asal dalam satu gotong-royong di Kampung Sena hari ini.
Penjual kuih berusia 59 tahun itu berkata amalan ”usung rumah” tersebut sudah lama dilupakan dan gotong-royong hari ini bertujuan mengingatkan kembali masyarakat akan tradisi yang menjadi simbol kerjasama orang Melayu berkenaan.
"Terima kasih semua. Tanpa penyertaan ramai rumah saya mungkin masih berada di tapak asal,” katanya ketika ditemui selepas program itu.
Paridah berkata rumah itu dipindahkan daripada tapak asal bagi membolehkan beliau sekeluarga memiliki halaman yang lebih luas.
Usaha mengusung rumah berusia kira-kira 50 tahun itu turut disertai Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, selain dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan beberapa buah pertubuhan.
Amalan mengusung rumah ini lazimnya membabitkan rumah papan dan menggunakan pengusung daripada batang buluh yang diikat pada bahagian bawah rumah sebelum diangkat dan diusung beramai-beramai. - Bernama
sumber : Kosmo 13/3/2011
0 kesan tapak kaki:
Post a Comment