apelah nk jd dunia skrg nie..
hr2 bukak surat khabar ade saje kes buang bayi lah, bayi ditinggalkan, bayi ditanam lah..
mcm2 cerita ade..
sangt2 zalim..kesian kepada bayi yg x bersalah tue!!~~
hr ni kat paper Metro
"Kejutan belakang bilik mayat"
MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu ditemui ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab di belakang Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), petang kelmarin.
Difahamkan, bayi terbabit ditinggalkan agak lama sebelum ditemui oleh seorang orang awam berusia 40-an kira-kira jam 4.30 petang yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk melawat ahli keluarganya sebelum dia menghubungi pihak polis.
Sumber berkata, bayi terbabit ditemui dibalut dengan sehelai kain batik dan diletakkan di dalam sebuah beg berwarna merah bertulis ‘Parkson’ yang turut dilapik dengan tilam nipis.
“Bayi terbabit kemudiannya dibawa polis yang bertugas di pondok hospital ke Jabatan Kecemasan untuk pemeriksaan kesihatan. Bayi terbabit sudah tidak mempunyai tali pusat dan selamat serta keadaannya adalah sihat,” katanya.
Sumber berkata, bayi berkenaan kini diletakkan dalam pengawasan pihak hospital bagi memastikan keadaan kesihatannya benar-benar terjamin sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu yang terbabit meninggalkan bayi berkenaan untuk tindakan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dalam menjaga kanak-kanak yang berada dalam jagaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.
Salehhudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan polis.
Ini adalah kes kedua berkaitan bayi yang berlaku dalam bulan ini.
Pada 18 Mei lalu, akhbar ini melaporkan satu pasangan remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dan menanam mayat seorang bayi lelaki di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam pada 12 Mei lalu.
Ibu bayi itu, seorang pelajar berusia 15 tahun, dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru, di sini, dituduh bersama-sama melakukan kesalahan itu antara jam 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lalu.
>Buang bayi dalam kotak Oleh Salman Hamat salman@hmetro.com.my KULAIJAYA: “Kali pertama melihat wajah bayi di dalam kotak susu itu, saya mahu menyelamatkannya malah sepanjang perjalanan ke hospital, saya tidak putus mendoakan bayi yang masih bertali pusat itu panjang umur dan dapat diselamatkan.
“Bagaimanapun, saya terkilan apabila tepat azan Subuh dilaungkan bilal surau hospital, doktor mengesahkan bayi perempuan malang itu sudah menghembuskan nafas terakhirnya walaupun pelbagai usaha dilakukan pasukan perubatan,” kata Zulkifli Samsi, 40, bapa kepada tiga anak menceritakan detik cemas cubaannya menyelamatkan bayi perempuan yang ditemuinya di dalam kotak susu di sebuah hentian bas depan Sekolah Menengah Munsyi Addullah, di sini, jam 4.50 pagi semalam.
Menurutnya, ketika kejadian, dia secara kebetulan melalui jalan berkenaan untuk minum di gerai berhampiran sementara menunggu azan Subuh sebelum berjemaah di surau berhampiran.
:: sumber- metro 31/5/10
"Bayi ditinggal dalam kotak susu"
Lelaki dakwa nampak kelibat orang letak objek di hentian bas awal pagi
KULAIJAYA: Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan, diletakkan di dalam kotak susu sebelum ditinggalkan di hentian bas di hadapan Sekolah Menengah Munsyi Abdullah, di sini, awal pagi semalam.
Ketika ditemui seorang lelaki kira-kira jam 4.50 pagi, bayi berkenaan masih bernyawa, bagaimanapun meninggal dunia tidak lama kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Kulai, di sini.
Zulkifli Samsi, 40, yang menemui bayi berkenaan berkata, pada waktu itu dia yang menaiki kereta sedang dalam perjalanan untuk minum di gerai berhampiran rumahnya dan melihat sebuah kereta berhenti di hadapan sekolah berkenaan.
"Dalam keadaan samar-samar, saya melihat kelibat orang keluar dari kereta itu sambil membawa sesuatu. Dalam keadaan kelam kabut, dia meletakkan objek dibawanya di hentian bas berkenaan sebelum memecut laju ke arah Johor Bahru.
"Kerana ingin tahu, saya kemudian berhenti dan mendapati sebuah kotak susu ditinggalkan di situ. Saya kemudian mengambil sebatang kayu untuk membuka kotak berkenaan sebelum terpandang wajah bayi yang diam membisu dibalut dengan kain.
"Tanpa berfikir panjang saya mencapai kotak itu dan masuk ke dalam kereta menuju ke HK. Ketika dirawat, saya dapat melihat jarinya bergerak sebelum disahkan sudah meninggal dunia," katanya di sini, semalam.
Zulkifli berkata, dia berdoa sepanjang perjalanan ke hospital supaya bayi yang masih bertali pusat itu akan dapat hidup.
Katanya, bayi itu meninggal dunia sewaktu azan Subuh sedang berkumandang walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk membantunya terus hidup.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkefly Yahya, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
"Siasatan awal mendapati, bayi perempuan dilahirkan dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui dengan masih bertali pusat ketika dirawat dan hanya dibalut menggunakan kain tanpa baju ketika ditinggalkan dalam kotak berkenaan.
"Berikutan itu, kami memohon kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan serta mengesan ibu dan individu bertanggungjawab melakukan perkara tidak berperikemanusiaan itu," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat bayi secara sulit.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi talian Hotline Polis Johor 07-2212999 atau 07-6637222 atau terus ke balai polis berhampiran.
:: sumber- B.harian