KUALA KRAU 31 Dis. - Sebanyak tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diberi status Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) bagi melahirkan atlet berkelas dunia menerusi acara sukan yang dipertandingkan di dalam dan luar negara.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah tersebut diambil dalam melatih dan mendidik mereka sebagai langkah awal menyediakan pelapis atlet negara.
"Mana-mana universiti yang tidak mendapat status PKS tersebut, mereka diberi status Pusat Tumpuan Sukan yang memainkan peranan sama dalam melahirkan atlet berwibawa di kalangan mahasiswa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Pengurusan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2010 di UiTM kampus Khazanah Alam Bandar Jengka di sini.
Saifuddin berkata, kementeriannya memberi sokongan dan bantuan melaksanakan program seperti itu supaya melahirkan siswazah yang unggul, tajam minda, berpersonaliti, cergas dan bersemangat patriotik tinggi terhadap negara.
Tambahnya, kerajaan telah membelanjakan RM10 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi pembangunan sukan dan prasarana di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bertujuan menggalakkan mahasiswa aktif dalam pelbagai jenis sukan.
Jelasnya, universiti boleh menjadi landasan dan medan penting dalam menyedia dan membentuk barisan tenaga pakar bagi menggalas penyediaan pegawai, jurulatih dan atlet sukan berprestasi tinggi mewakili negara.
Dalam pada itu beliau memberitahu, Dasar Sukan di IPTA yang diwujudkan sejak dua tahun lalu terbukti berjaya berikutan kejayaan atlet universiti negara meraih 37 pingat emas dalam kejohanan sukan antara Universiti ASEAN di Chiangmai, Thailand baru-baru ini.
Jelasnya, langkah mewujudkan dasar itu bertujuan mengembangkan bakat mahasiswa dengan diberi latihan secara sistematik ketika melanjutkan pengajian di universiti tempatan.
''Atlet dari universiti tempatan diberi pelbagai keistimewaan seperti asrama, biasiswa serta jadual anjal kelas bagi membolehkan mereka mengadakan latihan atau mengikuti pertandingan dalam negara mahupun luar negara," katanya.
Katanya, bakat yang ada pada atlet terbabit perlu diasah walaupun melanjutkan pengajian ke universiti dan menolak persepsi negatif bakat sukan mereka terkubur di IPTA.