mari membaca! aku nak kongsi artikal ini.
Akal merupakan nikmat Allah yang tidak ternilai harganya. Dengan akal, manusia menjadikan ianya sebagai panduan dalam melayari hidup di atas muka bumi dan dengannya juga iman, agama dan akhlak manusia akan menjadi sempurna. Begitu banyak hadis yang menyatakan tidak sempurna akhlak, budi pekerti dan iman seseorang tanpa sempurna akalnya.
Sabda Nabi s.a.w:
"Tidak sempurna kebaikan budi seseorang sebelum sempurna akalnya. Ketika itu barulah sempurna imannya. Ketika itu juga ia mampu mentaati Allah dan melawan godaan iblis dan syaitan." (Riwayat Ibnu Mahbar dari 'Amr bin Syu'ib)
Ovum-Ovum
Secara biologinya, proses kejadian manusia tiada bezanya dengan binatang. Benih sperma dari air mani bergerak untuk mensenyawakan ovum. Dari banyak-banyak sperma itu, hanya satu sahaja yang akan berjaya menembusi ovum dan mensenyawakannya (sperma itulah anda).
Dari situ terbentuklah satu sel baru yang akan membahagi kepada dua, empat dan seterusnya sehiggalah menjadi gumpalan sel yang dinamakan embrio. Dari segumpal darah ini terbentuk pula daging dan seterusnya tulang. Kemudian tulang itu dibalut pula dengan daging sebelum terjadinya makhluk bernama manusia.
Namun, di sebalik dijadikan dari air mani yang hina, Allah menganugerahkan manusia dengan akal fikiran, justeru mengangkat manusia di kedudukan yang mulia. Namun begitu, fakta ini hanyalah benar jika akal tersebut digunakan untuk mencari keimanan, menolong agama Allah dan membentuk akhlak yang mulia.
Bagi manusia yang gagal menggunakan akal untuk merenung ciptaan Tuhan dan seterusnya mengabdikan diri kepada Allah, sesungguhnya mereka lebih hina daripada binatang. Logiknya kerana binatang selaku makhluk Allah yang tidak mempunyai akal tidak berpeluang untuk berfikir dan memilih jalan, tidak seperti mana manusia yang mempunyai pilihan untuk memilih jalan kebaikan dengan menggunakan akal.
Firman Allah:
"Dan sesungguhnya Kami isikan dalam neraka jahanam itu sebahagian dari golongan jin dan manusia. Mereka terdiri dari golongan yang mempunyai hati tetapi tidak mahu menghayati ayat-ayat Allah. Mereka mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat tanda-tanda kekuasaan Allah. Mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ayat dan nasihat Allah. Mereka tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Merekalah orang yang lalai." (Surah al-A'raf:179)
Kecerdikan - Adakah Diukur Dengan IQ?
Dalam islam, kecerdikan tidak di ukur dengan dengan kelulusan yang dimiliki atau keputusan ujian IQ yang diperolehi. Jika itu ukurannya, maka mengapa masih ada orang yang bijak pandai tetapi terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan? Tetapi Islam mendefinasikan kecerdikan seseorang dari segi sejauh mana dia berusaha menyelamatkan diri dari kerosakan hidup di dunia, justeru beroleh kebahagian di akhirat.
Sabda Rasulullah:
"Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati." (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abidunya.)
Dalam sabda di atas Nabi tidak menyatakan orang yang cerdik adalah orang yang kaya, ataupun berpangkat besar, mempunyai banyak ijazah tetapi sebaliknya dengan perkataan yang mudah; iaitu mereka yang selalu mengingati mati.
Kenapa?
Jawapannya mudah.
Orang yang selalu mengingat mati tahu sesudah kematiannya dia akan melalui alam lain yang semestinya berbeza dengan apa yang dilaluinya di dunia ini. Jika di dunia dia disanjung dan dihormati kenalan-kenalan, kaya raya dan mampu memiliki apa yang dihajatinya, tetapi di alam itu semuanya itu sudah tidak berguna lagi.
Apa yang dimilikinya di dunia tidak dapat menolongnya ketika berhadapan dengan malaikat-malaikat yang sedia menyoalnya atas apa yang dilakukan di dunia. Yang dibawanya hanyalah amalan-amalan mulia yang dilakukan sepanjang perjalanan hidupnya di dunia.
Hanya selepas beberapa langkah ahli keluarganya pulang dari perkuburan, malaikat-malaikat mula datang untuk menjalankan perintah Allah. Jika amalannya baik, maka terlepaslah ia dari seksaan dahsyat kubur tetapi jika dia gagal menggunakan peluang hidup di dunia untuk mentaati Allah, maka alam kubur akan menjadi permulaan kepada seksaan.
Ya, permulaan kerana di neraka nanti banyak lagi pembalasan yang akan diterimanya.
Jadi orang yang selalu mengingati mati akan sentiasa muhasabah dengan apa yang dilakukannya dan berusaha untuk mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah. Dia akan sentiasa melakukan kebaikan kerana dia tahu apa yang dilakukannya akan dibalas kelak oleh Allah s.w.t.
Begitulah rationalnya hadis tersebut. Sesungguhnya, mengingati mati adalah satu motivasi.
Melakukan apa yang diperintah Allah lantaran selalu mengingati mati bukan sahaja dianggap cerdik oleh Nabi s.a.w tetapi juga menambahkan akal.
Sabda Nabi kepada Abu Darda:
"Tambahlah akalmu, nescaya hampirlah kamu kepada Allah." Abu Darda' bertanya, "Demi ibu dan bapaku, bagaimana caranya aku mendapatnya?" Jawab Nabi s.a.w, "Jauhilah larangan-larangan Allah dan tunaikanlah kewajiban-kewajiban sepertimana yang difardhukan-Nya, nescaya kamu akan menjadi orang yang berakal." (Riwayat At-Tirmizi)
Jadi, gunakanlah akal semaksimum yang mungkin dalam usaha mencapai bukan sahaja kebahagiaan tetapi juga keselamatan di dunia dan akhirat. Keselamatan di dunia bermakna ketenangan jiwa, kebahagian dan redha dengan apa yang dilaluinya dan keselamatan akhirat ialah terlepas dari seksaan api neraka, dapat melalui titian sirat dengan selamat serta dapat merasai nikmat syurga.
Tetapi harus diingat penggunaan akal perlu dibimbing oleh agama. Penggunaan akal sahaja tanpa bimbingan al-Quran dan hadis boleh sahaja menyesatkan seseorang. Lihat sahaja Albert Eistein, orang yang paling bijak di dunia dan Stephen Hawking, manusia cacat yang dikatakan manusia paling bijak selepas Eistein, kedua-duanya menolak untuk bertuhan (atheist) walaupun pernah mengaku akan kewujudan Tuhan melalui kajian sains yang dijalankan mereka.
Mungkin kerana angkuh akan kehebatan akal mereka dalam mempelopori bidang sains.
Tetapi jadilah seperti penceramah terkenal US, Sheikh Yusuf Estate dan Prof Dr. Muhammad Al-Mahdi yang pada usia muda mereka merupakan aithest tetapi memeluk islam setelah melakukan kajian yang terperinci dan melihat kekuasaan Allah melalui Al-Quran. Mereka ini adalah golongan-golongan yang telah memanfaatkan sepenuhnya penggunaan akal fikiran.
Sekadar renungan untuk diri sendiri dan anda semua.